Allahyarham Kamal Bakar selamat dikebumikan

2024-06-25 berita.rtm.gov.my HaiPress

Hanis Kamal

BUKIT BARU,25 Jun- Allahyarham pelakon veteran Kamarulzaman@Kamal Bakar,62 tahun selamat dikebumikan pada pukul 2.20 petang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru,Melaka.

Terdahulu,jenazah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Al Ehsan,Bukit Baru,Melaka selepas solat Zuhur,yang disertai lebih 500 jemaah.

Anak Allahyarham,yang juga pelakon,Hanis Kamal,reda dengan pemergian bapanya yang menghidap kanser paru-paru tahap empat.

"Kami reda ketentuan ilahi,insya-Allah segalanya mudah,terima kasih banyak-banyak. Ayah saya bukan orang yang popular,saya tak sangka orang membuat liputan,terima kasih.

"...kalau ada kawan-kawan ayah yang tengok,saya wakil kepada arwah minta maaf dekat semua," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu,rakan pelakon,Datin Fadilah Mansor menyifatkan kehilangan arwah merupakan kehilangan besar dalam dunia seni tanah air.

"Saya terasa amat kehilangan sebab saya bersama-sama dengan arwah sebelum saya kahwin lagi,ketika itu di Melaka. Saya bersekolah di Melaka,dan sama-sama naik dalam bidang seni lakon.

"Saya terasa juga kehilangan dia dan saya mengucapkan salam takziah kepada semua kaum keluarga dan anak-anak,namun Allah lebih menyayangi arwah," katanya.

Terdahulu,Allahyarham Kamal sudah dua minggu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU),Hospital Melaka.

Kamal memulakan kerjaya lakonan sejak era 1970-an dengan membintangi banyak drama dan filem seperti Andai Itu Takdirnya,Orang Minyak,Suami Aku Ustaz,Pendekar dan Ratu Ten Pin.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.