Perhimpunan Putrajaya bukti Malaysia amal demokrasi sihat

2024-06-30 berita.rtm.gov.my HaiPress

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR),Manivanan Gowin

KUALA LUMPUR,30 Jun - Perhimpunan yang dianjurkan di Putrajaya semalam bukti Malaysia mengamalkan ruang demokrasi yang sihat apabila setiap individu mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka secara bebas dan terbuka.

Bagaimanapun,Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR),Manivanan Gowin berkata semua pihak perlu memastikan perbincangan dan kritikan secara terbuka tidak menyentuh isu-isu sensitif seperti sentimen 3R (Kaum,Agama dan Raja) demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan keamanan negara.

"Walaupun sambutan terhadap demonstrasi tersebut tidak begitu menggalakkan,namun perlu diingatkan bahawa kebebasan bersuara mesti diiringi dengan sikap bertanggungjawab dan penganjur juga perlu mematuhi semua peruntukan undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Ucapan menghasut,memfitnah dan menghina pimpinan negara termasuk Perdana Menteri tidak boleh diterima kerana tindakan sedemikian bukan sahaja merosakkan reputasi individu,tetapi juga mencemarkan suasana harmoni dan demokrasi yang diperjuangkan selama ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Ujarnya,Kerajaan MADANI komited mendengar pandangan rakyat dan sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina.

"Kerana setiap pandangan yang disuarakan dengan adil dan beretika boleh menyumbang kepada proses pembangunan negara.

"Rakyat seharusnya bersatu dan berganding bahu untuk menjadikan Malaysia lebih baik,aman dan sejahtera demi generasi akan datang," katanya.

Katanya,lebih-lebih lagi negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan geopolitik di peringkat serantau dan global.

"Sehubungan itu,rakyat Malaysia perlu melihat kepada usaha serta pencapaian kerajaan yang diiktiraf pelbagai pihak dan bukannya terpengaruh dengan momokan dan fitnah yang dilemparkan tanpa disokong maklumat dan fakta yang tepat," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.