Bursa Malaysia dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

2024-07-21 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto hiasan

KUALA LUMPUR,20 Julai- Keadaan dagangan yang tidak menentu di Bursa Malaysia dan pasaran serantau diunjur berterusan hingga ke minggu depan dengan pasaran tempatan dijangka diniagakan berhati-hati ketika para pelabur memantau perkembangan global terutamanya trend penurunan saham teknologi global dan kemungkinan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS).

Naib presiden ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bagi Bursa Malaysia,syarikat pembrokeran itu mengekalkan prospek jangka panjang yang positif disokong oleh harga pasaran saham yang menarik,pendapatan kukuh korporat dan keadaan ekonomi yang bertambah baik.

"Oleh itu,kami menjangka momentum belian dalam saham mewah berterusan memasuki ke minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Rakuten Trade menjangka indeks utama berada dalam jajaran 1,625–1,655 pada minggu depan dengan paras sokongan segera pada 1,620 diikuti seterusnya pada 1,610.

FBM KLCI meneruskan kenaikannya,melepasi paras 1,632 buat pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun pada pertengahan minggu yang baru berakhir ini.

"Dengan indeks petunjuk pasaran mencecah paras ketinggian baharu dalam tempoh 25 minggu,momentum positif dijangka berterusan dalam tempoh jangka pendek hingga sederhana. Kami menjangkakan momentum ini akan melonjakkan indeks utama ke arah paras ketahanan seterusnya pada 1,655,dan sekiranya paras ini dapat dilepasi,pergerakan dijangka terus meningkat,” kata Thong.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat,FBM KLCI melonjak 17.49 mata kepada 1,636.55 daripada paras 1,619.06 pada minggu sebelumnya.

Bagi minggu yang baru berakhir ini,pasaran bergerak dalam dagangan jajaran kecil seiring dengan prestasi pasaran global yang tidak menentu berikutan ketidakpastian prospek penurunan kadar Fed dan ditutup minggu ini di tengah-tengah gangguan teknologi global yang menjejaskan banyak perniagaan dan perniagaan di seluruh dunia.

Suapan nilai Indeks FBM KLCI Bursa Malaysia mengalami gangguan perkhidmatan selepas rehat tengah hari pada Jumaat bagaimanapun ia pulih semula pada 3.21 petang.

Pada Jumaat,Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan ekonomi negara dianggarkan berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2024,meningkat daripada 4.2 peratus pada suku sebelumnya,dan tertinggi sejak pertumbuhan 7.4 peratus dalam suku keempat 2022.

Bagi tempoh separuh pertama 2024,keluaran dalam negara kasar Malaysia meningkat sebanyak 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.

Di papan indeks Bursa Malaysia,Indeks FBM Emas melonjak 118.56 mata kepada 12,659.26,Indeks FBMT 100 meningkat 121.80 mata kepada 12,232.42,Indeks FBM Emas Shariah naik 121.90 mata kepada 13,037.10,Indeks FBM 70 menambah 154.82 mata kepada 18,828.01 dan Indeks FBM ACE berkurangan 47.0 mata kepada 5,934.21.

Mengikut sektor,Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 172.67 mata kepada 17,972.78,Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 3.94 mata kepada 197.02,Indeks Tenaga turun 8.93 mata kepada 975.59,manakala Indeks Perladangan melonjak 281.14 mata kepada 7,224.85.

Bagi minggu ini,jumlah dagangan meningkat kepada 25.23 bilion unit bernilai RM18.85 bilion daripada 19.39 bilion unit bernilai RM15.69 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 14.21 bilion saham bernilai RM16.42 bilion daripada 11.38 bilion saham bernilai RM13.79 bilion.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 6.32 bilion unit bernilai RM2.23 bilion daripada 3.94 bilion unit bernilai RM496.75 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 4.69 bilion saham bernilai RM1.61 bilion daripada 4.05 bilion saham bernilai RM1.39 bilion sebelumnya.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.