MOF terbit Kenyataan Prabelanjawan 2025, tetapkan tiga keutamaan jangka pendek

2024-07-31 berita.rtm.gov.my HaiPress

Menteri Kewangan II,Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan / Foto Fail

KUALA LUMPUR,30 Julai - Tiga keutamaan jangka pendek ditetapkan di bawah Belanjawan 2025.

Menteri Kewangan II,Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata berdasarkan Kenyataan Prabelanjawan (KPB) yang diterbitkan Kementerian Kewangan (MOF),keutamaan tersebut akan menyokong usaha merealisasi kerangka Ekonomi MADANI.

"Keutamaan pertama menaikkan siling (dari segi menstrukur semula ekonomi supaya lebih bernilai dan berdaya saing tinggi),menaikkan lantai (menambah baik mutu kehidupan rakyat dan keterangkuman peluang) dan Memperkukuh tatakelola dan penyampaian perkhidmatan awam," katanya semasa Sesi Dialog Prabelanjawan 2025 bersama penjawat awam pagi tadi.

Tambah Amir Hamzah,ekonomi negara telah melalui peningkatan pertumbuhan yang amat memberangsangkan,iaitu daripada 2.9 peratus (Suku Keempat 2023) kepada 4.2 peratus (Suku Pertama 2024).

Anggaran awal bagi Suku Kedua 2024 pula telah diunjur pada 5.8 peratus.

Katanya,antara faktor yang menggalakkan pertumbuhan ini termasuklah pemulihan eksport yang mengembang sebanyak 5.2 peratus (Suku Pertama 2024) berbanding penguncupan sebanyak 8.1 peratus pada tahun 2023.

Pertumbuhan pelaburan swasta pula mengukuh kepada 9.2 peratus pada Suku Pertama 2024 berbanding 4.6 peratus pada tahun 2023.

“MOF komited untuk terus memberi keutamaan terhadap reformasi fiskal dalam Belanjawan 2025,selari dengan sasaran jangka sederhana yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

"Pada masa sama,MOF juga akan memastikan dasar monetari kekal menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang diterajui oleh sektor swasta,” tambah Amir Hamzah.

KPB turut menetapkan tema Ekonomi MADANI: Negara Makmur,Rakyat Sejahtera sebagai panduan kepada proses konsultasi bagi Belanjawan 2025.

Selari dengan prinsip MADANI,kerajaan komited untuk memastikan proses penggubalan Belanjawan 2025 adalah holistik dan terangkum.

“Kerajaan mengalu-alukan cadangan rakyat dan komuniti perniagaan untuk Belanjawan 2025,khususnya langkah yang dapat mempercepat pencapaian hasrat Ekonomi MADANI serta mempertingkatkan momentum pertumbuhan,” katanya.

Oang awam boleh menghantar komen,maklum balas dan cadangan ke Portal Belanjawan 2025 di https://belanjawan.mof.gov.my.

Proses penggubalan Belanjawan Negara telah bermula pada 9 Julai dengan Majlis Libat Urus Belanjawan 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.