MITI akan kemuka cadangan Belanjawan 2025 dalam masa dua minggu - Tengku Zafrul

2024-08-02 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Fail: Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz/ BERNAMA

KUALA LUMPUR,1 Ogos- Kementerian Pelaburan,Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengemukakan cadangan Belanjawan 2025 kementerian itu secara rasmi kepada Kementerian Kewangan pada 12 Ogos,2024.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pada 5 dan 6 Ogos,MITI akan mengadakan mesyuarat dengan pemegang taruh untuk mengumpulkan pelbagai cadangan dan pandangan daripada pemain industri.

“Pihak MITI ada beberapa cadangan tetapi seperti saya tegaskan,ia perlu melibatkan pemegang taruh yang lain,terutamanya pihak industri dan dewan perniagaan.

“Kami mahu mendengar pandangan mereka dan idea belanjawan mereka seperti diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pastikan ada sesi libat urus dengan semua pemegang taruh,” katanya selepas Persidangan Ekonomi & Kewangan Awam anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini,hari ini.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Okt,2024.

Semalam,Kementerian Kewangan menggaris tiga keutamaan jangka pendek bagi Belanjawan 2025 untuk mencapai objektif Ekonomi MADANI.

Tiga matlamat tersebut ialah; untuk meningkatkan siling dari segi penyusunan semula ekonomi ke arah daya saing dan aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi; meningkatkan lantai dari segi menambah baik kualiti hidup dan keterangkuman peluang; serta memperkukuh tadbir urus dan penyampaian awam. -BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.