Paras air di Empangan Bukit Merah meningkat 33 peratus

2024-08-13 berita.rtm.gov.my HaiPress

Empangan Bukit Merah

KUALA KANGSAR,12 Ogos - Paras air di Empangan Bukit Merah,Bagan Serai meningkat ke tahap 33 peratus daripada isipadu keseluruhan selepas Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan pada 29 hingga 31 Julai lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur,Tenaga,Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sumbangan OPA amat signifikan apabila kaedah berkenaan dapat membantu menghadirkan beberapa siri hujan secara semula jadi di empangan tersebut.

“Sebelum OPA,paras air pernah berada pada kadar 12 peratus daripada isipadu keseluruhan air di empangan itu,namun selepas kaedah tersebut dilaksanakan ia meningkat ke paras 33 peratus dalam masa kurang seminggu (selepas OPA).

“Saya harapkan keadaan ini akan berterusan dan terima kasih kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi yang terlibat dalam memastikan paras air di empangan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Jubli Perak,Kuala Kangsar di sini hari ini.

Sebelum ini,paras air di empangan tersebut menunjukkan penyusutan dengan baki simpanan semasa air mentah berada di tahap bahaya iaitu pada kadar 19.54 peratus setakat 15 Julai lepas.

Keadaan itu menyebabkan kaedah OPA terpaksa dilaksanakan bagi memastikan paras air di empangan yang terletak dalam daerah Kerian serta Larut Matang dan Selama (LMS) itu meningkat dan kembali menyalurkan bekalan air untuk tujuan pertanian.

Sementara itu,Mohammad Nizar berkata bekalan untuk tujuan pertanian kemungkinan besar akan disalurkan semula apabila paras air kembali berada pada tahap 40 peratus daripada isipadu keseluruhan.

“Kita jangkakan keadaan ini (40 peratus) boleh dicapai dalam masa dua atau tiga minggu daripada sekarang dan harapan kita agar lebih banyak taburan hujan semula jadi berlaku khususnya di empangan tersebut,” katanya. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.