Masalah rabun murid sekolah di WP membimbangkan

2024-08-23 berita.rtm.gov.my HaiPress

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),Dr. Zaliha Mustafa / Foto RTM

KUALA LUMPUR,23 Ogos - Masalah rabun dalam kalangan murid sekolah di Wilayah Persekutuan membimbangkan berdasarkan dapatan daripada saringan dibuat di bawah Program Mata Hati Wilayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan),Dr. Zaliha Mustafa berkata berdasarkan statistik diperolehi setakat ini,58.2 peratus daripada 2,077 murid yang disaring sejak program itu diperkenal Jun lepas,telah dikenal pasti rabun.

Beliau berkata,sekiranya hal sedemikian tidak diatasi lebih awal,ada kemungkinan pelajar berkenaan akan tercicir daripada pembelajaran.

"Sebab itu kita datang kan program ini,kita kenal pasti dan akhirnya membuat intervensi yang sesuai,memberikan mereka cermin mata percuma dan akhirnya mereka dapat membaca dengan baik dan terus memberi pembelajaran yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Seminar Kecemerlangan SPM Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,di sini,pada Khamis.

Program Mata Hati Wilayah merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) bertujuan menangani masalah kesihatan mata dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di seluruh Wilayah Persekutuan.

Antara sekolah yang telah dipilih untuk menyertai program tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai,SK Desa Tasik,SK Setiawangsa dan SK Wangsa Maju Seksyen 1.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.