2024-08-26 berita.rtm.gov.my HaiPress
Foto hiasan
KUALA LUMPUR,26 Ogos- 15 stesen Transit Aliran Massa (MRT) di ibu negara telah diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi memastikan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) yang telah dikuatkuasakan dipatuhi sepenuhnya premis berkenaan,baru-baru ini.
JBPM dalam kenyataan memaklumkan,hasil pemeriksaan mendapati pihak premis perlu melakukan beberapa penambahbaikan antaranya melibatkan sistem siar raya,panel utama sistem pencegahan kebakaran,sistem 'pressure rise' pada tangga keselamatan dan lampu kecemasan yang tidak berada dalam kondisi sepatutnya.
"Semua penemuan itu akan direkodkan sebelum notis Memberitahu Tentang Keperluan-Keperluan yang Perlu Dipatuhi (FC6) dikeluarkan kepada pihak premis bagi tujuan pematuhan.
"Pemeriksaan ini sebagai antara langkah siap siaga JBPM dalam memastikan Sistem Perkakasan Keselamatan Kebakaran di premis berfungsi dan berada dalam keadaan baik," katanya.
Selain itu pemeriksaan berkenaan juga bagi memastikan Pelan Tindakan Keselamatan Kebakaran berada dalam keadaan baik semasa insiden atau kebakaran untuk keselamatan nyawa dan harta benda.
Operasi yang dijalankan selama dua hari bermula 21 Ogos lepas itu diketuai Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Kuala Lumpur Mohamad Hamizal Ainuddin.