Malaysia komited penuhi ketelusan pemunyaan benefisial

2024-08-27 berita.rtm.gov.my HaiPress

Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR,27 Ogos- Malaysia komited untuk mematuhi piawaian antarabangsa seperti ditetapkan Financial Action Task Force (FATF) sebagai asas utama memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan berkata,komitmen berkenaan seiring dengan usaha kerajaan yang menekankan kepentingan ketelusan pemunyaan benefisial.

"Kerangka perundangan tersebut memperkenalkan pelbagai perubahan demi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan syarikat,serta mempertingkatkan mekanisme kawal selia korporat.

"Pindaan akta berkenaan melambangkan komitmen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersama-sama menerajui strategi dan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menyokong agenda reformasi," katanya.

Pendekatan itu selaras dengan matlamat negara untuk menjadi sebuah pusat perniagaan yang berintegriti tinggi dan berdaya saing dalam arena global.

"Sehingga 31 Julai 2024,sebanyak 374,774 daripada 677,351 syarikat aktif tersenarai dalam daftar SSM telah mematuhi keperluan untuk menyerahkan maklumat pemilikan benefisial mereka.

"Ia menunjukkan kadar pematuhan sebanyak 55.3 peratus yang merupakan langkah positif ke arah mencapai matlamat ketelusan yang lebih tinggi dalam sektor korporat," tambah kenyataan itu.

Terdahulu Armizan,melancarkan Persidangan Kebangsaan SSM secara dalam talian yang dianjurkan dengan matlamat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai amalan terbaik korporat.

Pada masa sama,persidangan itu akan turut membincangkan perkembangan terkini dari aspek perundangan yang mempengaruhi perniagaan dalam negara.

Persidangan kebangsaan SSM disertai lebih 3,000 delegasi termasuk wakil daripada ahli-ahli Corporate Registers Forum dari Singapura,Hong Kong,Tunisia,Republic of Kiribati dan Afrika Selatan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.