MYCC, TCA meterai MOU perkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang persaingan

2024-09-11 berita.rtm.gov.my HaiPress

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan badan berkuasa persaingan Turkiye Turkish Competition Authority (TCA) memeterai memorandum persefahaman (MOU)/Foto KPDN

PUTRAJAYA,11 September - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan badan berkuasa persaingan Turkiye Turkish Competition Authority (TCA) memeterai memorandum persefahaman (MOU) semalam (10 Sept) untuk memperkukuhkan kerjasama dalam menghadapi cabaran penguatkuasaan undang-undang persaingan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata bahawa ini adalah MoU pertama yang ditandatangani oleh MyCC dengan agensi persaingan dari negara lain.

"Fokus utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan,terutama dalam menangani kes anti persaingan yang dinamik,serta memperluas pertukaran maklumat dan kepakaran dalam pelbagai aspek undang-undang persaingan.

"MoU ini juga langkah penting untuk memperkasa peranan MyCC dalam membantu kerajaan memerangi isu kartel dan monopoli dan kita juga dapat memastikan pasaran yang lebih kompetitif,inovatif dan memberikan rakyat lebih banyak pilihan melalui persaingan yang sihat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu di Turkiye,Armizan mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Perdagangan Turkiye Prof Dr Omer Bolat dan pelbagai perkara dibincangkan termasuk tanggungjawab antara kedua-dua kementerian seperti perdagangan dalam negeri,perlindungan pengguna,perundangan persaingan dan isu kos sara hidup.

Menurut Armizan,MyCC telah memainkan peranan penting dalam memastikan persaingan yang adil dan terbuka di Malaysia.

Sejak penubuhannya,MyCC telah menyiasat lebih daripada 100 syarikat berhubung pelbagai kes pelanggaran antipersaingan,termasuk kartel dan monopoli bermasalah.

Beliau berkata kementerian komited untuk terus memastikan pembangunan ekonomi yang seimbang dan melindungi kepentingan pengguna.

"Kementerian akan terus berusaha untuk mewujudkan pasaran yang adil dan terbuka,di mana persaingan yang sihat dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat," katanya. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.