Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya Isnin ini

2024-09-13 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto: FB JAKIM

PUTRAJAYA,13 September- Yang di-Pertuan Agong,Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong,Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.

Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis yang bertemakan "Al-Falah Pemacu Malaysia MADANI itu akan turut dihadiri Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut JAKIM,kemuncak sambutan bagi memperingati kelahiran Nabi Muhamaad SAW yang dijangka dihadiri 6,000 tetamu itu ialah penyampaian Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah/2024 Masihi oleh Sultan Ibrahim.

“Pada majlis ini seorang penerima Anugerah Perdana dan enam orang akan menerima Anugerah Maulidur Rasul SAW.

“Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang layak dan telah memberi sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara,” menurut kenyataan itu.

Mengenai pemilihan tema sambutan,JAKIM memaklumkan tema berkenaan manifestasi daripada intipati ajaran Rasulullah SAW serta sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan hakiki di dunia dan akhirat.

Majlis itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM di TV1 serta saluran media sosial rasmi JAKIM bermula jam 9.00 pagi.

Sempena sambutan tahun ini,beberapa majlis akan turut diadakan antaranya Malam Cinta Rasul 2024 yang memuatkan tiga program iaitu Karnival Healing De’Masjid dan Pameran Artifak Rasulullah SAW selama empat hari bermula hari ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini serta Selawat Perdana di Dataran Putra pada Ahad.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.