MPOB tumpu R&D hasil baka sawit unggul untuk tingkat pengeluaran

2024-09-15 berita.rtm.gov.my HaiPress

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,15 September- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan baka sawit unggul bagi meningkatkan produktiviti dan pengeluaran sawit negara tanpa perlu menambah luas kawasan tanaman.

MPOB dalam satu kenyataan berkata usaha itu selari dengan komitmen negara terhadap pemuliharaan biodiversiti dan hutan hujan tropika dan yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992,dengan Malaysia masih mengekalkan lebih 50 peratus kawasan litupan hutan di negara ini.

Menurut kenyataan itu juga,semalam Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan lawatan kerja ke Stesen Penyelidikan MPOB Kluang untuk memantau aktiviti R&D yang dilaksanakan di stesen tersebut.

Semasa lawatan itu Johari turut meluangkan masa menanam anak pokok sawit baka Siri Klon Sawit 3 (CPS 3) yang berprestasi tinggi.

Baka sawit elit yang diperkenalkan MPOB pada 2020 itu mempunyai 89.7 peratus nisbah mesokarp pada setiap buah sawit yang menjamin kadar penghasilan minyak jauh lebih tinggi berbanding baka sawit lain.

Selain itu,beliau juga dibawa melawat plot penyelidikan germplasm Nigerian terawal,serta pusat sumber pendebungaan komersial dan plot tanaman PS 1.1 virescens.

Johari turut menekankan kepentingan untuk memilih baka dan bahan tanaman terbaik semasa proses tanaman semula sawit bagi memastikan hasil dan produktiviti sawit yang ditanam dapat memberi keuntungan terutamanya kepada pekebun kecil.

Menurut kenyataan itu,MPOB mempunyai pusat koleksi germplasma sawit terbesar di dunia.

Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) MPOB menggunakan germplasma sawit untuk tujuan penyelidikan berasaskan bioteknologi dan pembiakbakaan bagi penghasilan benih baharu yang berprestasi tinggi yang memiliki ciri-ciri unik untuk dijadikan bahan tanaman elit bagi memenuhi keperluan sektor perladangan sawit negara. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.