2024-11-25 HaiPress
Siasatan awal mendapati pacuan empat roda (putih) hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan kenderaan (hitam) mangsa
SETIU,25 November- Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 53,Kampung Sungai Lerek,di sini,Terengganu,kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Setiu,Penguasa Polis (SP) Mohd Zain Dris ketika dihubungi mengesahkan mangsa maut ialah pemandu kereta,Nur Ardieana Kamarudin,30,penumpang hadapan,Kamarudin Ibrahim,55,dan penumpang kanan belakang,Maimunah Mat Isa,54.
Seorang lagi penumpang belakang,Nur Azwa Shamimi Kamarudin,21,mengalami cedera parah di bahagian paha.
Pacuan empat roda berkenaan dipandu Muhammad Maani Salleh,bersama penumpang,Muhammad Adham Syahmie Mohd Sukri,18,hanya mengalami cedera ringan.
Siasatan awal mendapati pacuan empat roda itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan kenderaan mangsa.
Nur Ardieana dan ibunya,Maimunah,maut di lokasi kejadian,manakala bapanya,Kamarudin,meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Setiu.
Mayat kesemua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk proses bedah siasat,manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu,Penolong Penguasa Bomba Mohd Sarizan Mohammad Sapawi,operasi menyelamat membabitkan dua pegawai dan sembilan anggota mengambil masa lebih sejam akibat kesukaran mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit.