2024-11-25 HaiPress
Timbalan Menteri Sumber Manusia,Datuk Seri Abdul Rahman/Foto KKM
KUALA LUMPUR,25 November – Tiada had umur ditetapkan bagi Orang Berinsuran di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk membuat tuntutan insurans pekerjaan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia,Datuk Seri Abdul Rahman,berkata pekerja berumur 60 tahun dan ke atas tetap layak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja PERKESO.
"Sehingga hari ini,had umur bagi kelayakan manfaat pencarum PERKESO untuk Pencen Ilat dan Pencen Penakat di bawah Akta 4 masih kekal sehingga 60 tahun.
"Had umur 60 tahun bagi pekerja yang dilindungi di bawah Skim Keilatan adalah selaras umur persaraan minimum 60 tahun di bawah Akta 753.
"Namun,pekerja berumur 60 tahun ke atas dan masih bekerja dalam sektor formal,mereka layak dilindungi di bawah Skim Bencana Kerja,Akta 4.
"Kadar caruman ditetapkan adalah mengikut Jadual Kedua yang mana dibayar majikan sahaja," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya,pindaan had umur kelayakan daripada 55 tahun kepada 60 tahun telah dilaksanakan pada tahun 2013,selaras dengan Akta Umur Persaraan Minimum 2012.
Umur minimum tersebut juga sejajar dengan had umur 60 tahun bagi pekerja yang dilindungi di bawah Skim Keilatan mengikut Akta 753.
Bagi pekerja sektor tidak formal yang bekerja sendiri,mereka dilindungi di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).
Akta ini memberikan perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri terhadap bencana pekerjaan,termasuk penyakit akibat pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti kerja atau perjalanan berkaitan pekerjaan.