2024-11-30 HaiPress
Taman Eko Rimba Kanching /Foto Tourism Selangor Sdn Bhd
SHAH ALAM,30 November-Harga tiket kemasukan ke Taman Eko Rimba Kanching dan Taman Eko Rimba Chongkak,akan dinaikkan mulai 2 Disember depan.
Tourism Selangor Sdn Bhd dalam kenyataan berkata kenaikan tersebut bertujuan untuk menampung usaha menaik taraf infrastruktur dan meningkatkan aspek keselamatan di kedua-dua kawasan pelancongan tersebut.
"Bermula dengan harga serendah RM2.00 untuk pengunjung tempatan dan RM8.00 untuk pengunjung antarabangsa di Taman Eko Rimba Chongkak dan Taman Eko Rimba Kanching sejak tahun 2022,kenaikan sebanyak RM2.00 akan dikenakan dan kanak- kanak berumur 12 tahun ke bawah kekal percuma seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini",kata Tourism Selangor.
Menurut Tourism Selangor,menerusi penstrukturan baharu itu,harga tiket bagi hari bekerja akan dikenakan RM4.00 untuk pengunjung tempatan dan RM10.00 untuk pengunjung antarabangsa.
Manakala,pada hujung minggu dan cuti umum,kadar tiket adalah RM5.00 untuk pengunjung tempatan dan RM12.00 untuk pengunjung antarabangsa.
Tambah kenyataan itu,pihak Tourism Selangor Sdn Bhd kekal komited untuk membaik pulih dan memulihara kawasan pelancongan eko di negeri tersebut untuk keselesaan pengunjung tempatan dan antarabangsa,terutamanya menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.
Terdahulu,Kedua-dua buah kawasan pelancongan berkenaan menerima kunjungan pelancong yang tinggi iaitu sebanyak 89,164 pengunjung di Taman Eko Rimba Chongkak dan 55,852 pengunjung di Taman Eko Rimba Kanching sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.