Lebih 235,000 penduduk terjejas banjir di 957 PPS, tertinggi dalam sejarah

2024-12-04 HaiPress

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA,4 Disember - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bilangan penduduk terjejas banjir kali ini sebagai tertinggi dalam sejarah dengan 235,706 orang ditempatkan di 957 pusat pemindahan sementara (PPS),di seluruh negara.

Angka itu adalah berdasarkan laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) dan Portal InfoBencana JKM setakat pukul 11.00 pagi tadi.

"Kebimbangan ialah kemungkinan berdasarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dijangka akan ada gelombang kedua,mudah-mudahan kita dapat kawal. Di Terengganu keadaan banjir surut sedikit dan di Pahang dan Johor meningkat," kata Anwar pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI Untuk Mangsa Banjir,di sini.

Sebanyak RM35.8 juta sumbangan telah terkumpul daripada syarikat-syarikat korporat,khusus bagi membantu penduduk terjejas banjir di seluruh negara.

Sumbangan diterima antaranya daripada YTL Corporation Berhad dan Yayasan Albukhary dengan masing-masing menyumbangkan RM5 juta.

Sementara Sapura Secured Technologies dan U Mobile Sdn Bhd masing-masing RM3 juta serta sumbangan dari syarikat swasta lain.

Mengulas mengenai Dana Ihsan MADANI Perdana Menteri berkata,ia akan diselaras Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dana akan digunakan bagi memperbaiki infrastruktur di sekolah dan hospital yang terjejas akibat banjir.

"Kalau kemudahan meningkat ia akan beri kesan baik. Seperti sekolah dijadikan PPS,kita selaras sekolah mana perlukan,bilangannya. Jentera kita tahu tempat dan bantuan yang akan dihantar,kita akan selaraskan.

"Saya minta ICU senaraikan (keperluan infrastruktur) selain daripada apa yang diperuntukkan kerajaan," katanya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.