NIOSH sokong penubuhan pasukan khas keselamatan kenderaan berat

2025-01-08 HaiPress

NIOSH menyambut baik dan menyokong penuh penubuhan pasukan khas bagi menangani isu keselamatan kenderaan berat / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR,7 Januari – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan Menteri Pengangkutan,Anthony Loke berhubung penubuhan pasukan khas bagi menangani isu keselamatan kenderaan berat.

Dalam satu kenyataan,NIOSH menegaskan inisiatif tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan menetapkan standard tertinggi dalam sektor pengangkutan.

NIOSH menyokong usaha meningkatkan latihan kompetensi melalui Kod Amalan Keselamatan Industri yang relevan.

Institut itu menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi lain dalam menyediakan modul latihan yang terperinci.

"Modul tersebut bertujuan melatih operator kenderaan berat supaya memiliki kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan kenderaan mereka dengan selamat dan cekap,sekali gus mengurangkan insiden akibat kecuaian manusia," menurut NIOSH.

NIOSH turut menyokong cadangan mengenakan penalti lebih berat terhadap kesalahan muatan berlebihan yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Institut itu mencadangkan agar pasukan khas memberi keutamaan kepada penyelarasan undang-undang seperti Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987,bagi memastikan peraturan keselamatan yang seragam dan penguatkuasaan menyeluruh.

"Sebagai penasihat utama dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan,NIOSH komited memberikan sokongan teknikal,kepakaran penyelidikan,dan sumber latihan kepada Kementerian Pengangkutan," tambah NIOSH.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.