2025-01-20 IDOPRESS
Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) telah mencapai persetujuan untuk menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) / Foto Hiasan / FB Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA,20 Januari – Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) telah mencapai persetujuan untuk menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA),menandakan komitmen bersama ke arah kerjasama ekonomi dan usaha memperkukuh perkongsian perdagangan serta pelaburan antara kedua-dua pihak.
Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah,Ursula von der Leyen sempena lawatan kerja ke Brussels,Belgium.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri,penyambungan semula rundingan MEUFTA mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh antara Malaysia dan EU,salah satu blok perdagangan terbesar di dunia.
"Kedua-dua pihak menekankan pentingnya mencapai perjanjian yang seimbang dan menyeluruh,memastikan manfaat bersama kepada semua pihak berkepentingan. Rundingan ini juga menonjolkan keazaman bersama dalam memupuk kemakmuran ekonomi yang berpanjangan," menurut kenyataan itu.
MEUFTA dijangka memberikan faedah besar kepada sektor ekonomi Malaysia,termasuk meningkatkan eksport produk elektrik dan elektronik,minyak sawit,serta peralatan optik dan saintifik ke pasaran EU,selain memperkukuh rantaian bekalan global dalam sektor-sektor strategik.
MEUFTA juga dijangka menarik pelaburan baharu dari EU,khususnya dalam bidang tenaga hijau dan pembuatan termaju,sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
Pada tahun 2023,EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia,dengan nilai perdagangan mencecah RM206.79 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga November 2024,perdagangan dengan EU meningkat sebanyak 5.2 peratus,mencapai RM200 bilion berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Dari segi pelaburan,sehingga tahun 2023,EU telah melaksanakan 1,323 projek bernilai RM227.9 bilion di Malaysia,yang telah menjana lebih 153,000 peluang pekerjaan.