Johor sedia laksana sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030

2025-02-08 IDOPRESS

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor,Aznan Tamin

JOHOR BAHRU,8 Februari- Johor bersedia melaksanakan sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030,sejajar hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor,Aznan Tamin berkata kerajaan negeri juga menyahut pelaksanaan dasar tersebut,yang diyakini dapat meningkatkan keberkesanan pendidikan di negeri itu.

Setakat ini,hanya 204 daripada 1,194 sekolah rendah dan menengah di Johor masih mengamalkan dua sesi,pagi dan petang.

Namun,sebanyak 990 sekolah lain telah berjaya melaksanakan sistem satu sesi.

"Kita bersyukur kerana Johor merupakan negeri terbanyak menerima sekolah baharu sebanyak 18 sekolah baharu telah diumumkan dalam belanjawan yang lepas.

Maka,ia mungkin membantu pada perubahan sekolah satu sesi di Johor dan kita bersyukur kerana dapat lakukan. Kita mulakan sekolah satu sesi dimana membantu pelajar lebih fokus dalam pembelajaran mereka dan tidak meletihkan dalam pembelajaran dua sesi ini," kata Aznan kepada pemberita,hari ini.

Beliau ditemui semasa Majlis Pelancaran Program MCMC Microsoft AI TEACH Skills for AI-Enabled Economy peringkat Negeri Johor.

Tambahnya,penyelarasan sesi persekolahan itu bukan sahaja dapat memudahkan para pelajar,malah turut memudahkan pengurusan di peringkat kerajaan negeri dan ibu bapa.

Sementara itu,Johor merancang untuk berkolaborasi dengan Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence,Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai usaha memperkasa pendidikan kecerdasan buatan (AI) di negeri itu.

Jelas Aznan Tamin,perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Besar Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi melibatkan wakil universiti berkenaan,dalam lawatan kerjanya ke Dubai,baru-baru ini.

Pihaknya akan bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM),selaku universiti yang berperanan aktif dalam pendidikan AI di Johor,bagi menjayakan hasrat tersebut.

November tahun lalu,Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence,Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan universiti AI pertama di dunia bakal bekerjasama dengan universiti tempatan bagi membangunkan teknologi itu di Malaysia.

Tambahnya,kerajaan Johor juga akan mengintegrasikan kemahiran dan penggunaan teknologi AI dalam perkhidmatan awam di negeri itu.

Usaha itu selari dengan Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 sekali gus berpotensi melahirkan tenaga kerja dan modal insan terlatih dan berkemahiran tinggi melibatkan komuniti setempat termasuk masyarakat luar bandar menerusi latihan di semua 101 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Johor.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.