2025-02-10
IDOPRESS
Foto Jabatan Perikanan Negeri Kedah
YAN,10 Februari – Seramai 17 nelayan asing,terdiri daripada 13 warganegara Thailand dan empat warga Kemboja,ditahan ketika sedang leka menangkap ikan menggunakan pukat tunda di perairan Pulau Bidan,di sini,awal pagi semalam.
Mereka ditahan pada jarak tujuh hingga sembilan batu nautika dari daratan atau pulau terhampir oleh anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kedah.
Pengarah Perikanan Negeri Kedah,Sukri Deris memaklumkan empat buah vesel pukat tunda Zon C berjaya ditahan dalam operasi tersebut,dengan jumlah sitaan bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan RM2.1 juta.
"Selain itu,hasil tangkapan seberat 2,000 kilogram turut dirampas. Kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kedah untuk tindakan lanjut bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai," katanya dalam satu kenyataan.
Sukri turut mengingatkan nelayan agar tidak menceroboh kawasan berhampiran pantai kerana ia boleh menyebabkan penurunan sumber perikanan yang drastik apabila anak ikan turut terperangkap dalam pukat tunda.
"Kawasan pesisir pantai perlu dipelihara kerana ia merupakan nurseri tumbesaran anak ikan pelbagai spesies marin. Kegiatan pencerobohan akan membantutkan usaha jabatan dalam memastikan sumber perikanan negeri terpelihara dan diuruskan secara mapan," tambahnya.