2025-02-12
IDOPRESS
Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk disiapkan,mengambil kira faktor geografi dan saiz projek / Foto Hiasan / Bernama
KUCHING,12 Februari – Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk disiapkan,mengambil kira faktor geografi dan saiz projek.
Menteri Kerja Raya,Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek lebuh raya yang menghubungkan utara Sarawak dan Sabah itu memerlukan tempoh yang mencukupi bagi memastikan kualiti pembinaan terjamin.
"Ia belum lagi mengambil kira cabaran di lapangan,kita kena realistik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2025 di Damai Lagoon,di sini.
Tambah Nanta,kontraktor yang dilantik telah menerima Surat Setuju Terima pada akhir tahun lalu dan dijangka memulakan pembinaan dalam tempoh dua bulan.
Projek fasa kedua itu membabitkan kos sebanyak RM7.2 bilion dan merupakan antara usaha penting dalam meningkatkan rangkaian jalan raya serta hubungan antara Sabah dan Sarawak.