Bank Islam beri amaran mengenai penipuan atas talian

2025-02-17 HaiPress

Bank Islam Malaysia Berhad mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap pautan serta akaun media sosial palsu / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR,14 Februari – Bank Islam Malaysia Berhad mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap pautan serta akaun media sosial palsu yang menyalahgunakan jenama dan gambar Bank Islam bagi tujuan penipuan.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Perbankan Runcit Bank Islam,Mizan Masram menegaskan bahawa semua kempen rasmi Bank Islam hanya akan dipromosikan menerusi saluran rasmi institusi perbankan itu.

"Bank Islam tidak pernah meminta pelanggan memberikan maklumat peribadi seperti nombor akaun,kata laluan atau kod OTP melalui laman web mahupun akaun media sosial bagi sebarang kempen yang dijalankan," katanya kepada RTM.

Beliau turut menekankan pembukaan akaun Bank Islam hanya boleh dilakukan menerusi cawangan Bank Islam,laman web rasmi,atau aplikasi mudah alih BIMB Mobile App.

Tambah Mizan,bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian,Bank Islam mengingatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat perbankan peribadi melalui pautan yang mencurigakan.

Selain menyemak kesahihan laman web atau akaun media sosial sebelum melakukan transaksi dan berurusan hanya melalui saluran rasmi Bank Islam.

Orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat berkaitan kempen,promosi atau produk perbankan hanya melalui saluran rasmi Bank Islam.

"Bank Islam menasihatkan masyarakat agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan taktik licik penipu yang menyamar sebagai wakil institusi perbankan. Kesahihan maklumat perlu disemak sebelum mengambil sebarang tindakan bagi mengelakkan risiko kehilangan data dan wang," ujar Mizan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.