Krisis Myanmar, Laut China Selatan antara dibincangkan PM, Sultan Brunei, Thaksin

2025-02-19 IDOPRESS

Foto Facebook Datuk seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,18 Februari- Krisis Myanmar,pertikaian Laut China Selatan dan perdagangan intra-ASEAN antara perkara dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman,Brunei,hari ini.

Anwar menerusi hantaran di Facebook hari ini memaklumkan,sesi itu turut disertai bekas Perdana Menteri Thailand merangkap Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi Kepada Pengerusi ASEAN 2025 Thaksin Shinawatra.

Perdana Menteri berkata perbincangan itu terarah kepada Kepengerusian ASEAN 2025 dan peri pentingnya mendapat nasihat dan panduan Sultan Brunei,selaku pemimpin paling senior yang berpengalaman dan pengetahuan luas dalam kalangan pemimpin ASEAN.

“Antara disentuh ialah terkait situasi di Myanmar,yang walaupun negara itu terikat dengan Konsensus Lima Perkara,namun segala ikhtiar harus digerakkan untuk meneruskan proses penglibatan dengan semua pihak berkepentingan.

“Kami juga menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah yang berpunca daripada ekonomi atau pasaran gelap,didominasi oleh penyeludupan dadah,pemerdagangan manusia,serta penipuan dalam talian atau scam yang berleluasa,” kata beliau dalam hantaran tersebut.

Menurut hantaran itu,ketiga-tiga tokoh turut membincangkan solusi terbaik bagi mencapai trajektori positif dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar,serta memastikan semua Menteri Luar ASEAN sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan ini.

Anwar berkata selain itu,terdapat pandangan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat yang dicadangkan selaras dengan Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN Januari lepas,perlu segera dilaksanakan.

Berkenaan pertikaian di Laut China Selatan,Awar berkata ketiga-tiga tokoh bersetuju perlu ada kemajuan diplomatik yang lebih meluas secara multilateral,dengan aspirasi agar rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) dapat diselesaikan sesegera mungkin.

“Fokus utama juga diberikan kepada cara terbaik untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dan mempertingkatkan kerjasama ekonomi,termasuk keperluan untuk rangka kerja peraturan yang lebih mesra perniagaan dan berkesan.

“Pendekatan strategik dalam hal ini adalah untuk menggalakkan aliran modal yang lebih rancak serta merangsang pertumbuhan serantau yang lebih kukuh demi kemakmuran bersama,” katanya.

Anwar berkata mengenai mata wang kripto,mereka membincangkan kepentingan membangunkan infrastruktur Blockchain yang betul serta memastikan kebolehcapaian digital sebagai prasyarat utama bagi pembangunan yang sihat dan progresif di rantau ini.- BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.