UM anjur program perkasa petani dalam pengurusan lestari tanah gambut

2025-02-20 HaiPress

Peserta diberi penerangan mengenai pengurusan tanah yang lestari. /Foto UM

PONTIAN,20 Februari-Tanah gambut merupakan ekosistem yang kaya dengan bahan organik serta bertindak sebagai penyimpan karbon utama global.


Namun,tanpa pengurusan yang baik,ia boleh menjadi punca pelepasan gas rumah hijau yang tinggi,sekali gus mempercepatkan perubahan iklim.

Sehubungan itu,Institut Sains Biologi Universiti Malaya (UM) melalui Universiti Malaya Soil Doctor Programme (UMSDP) telah menganjurkan Program Memperkasa Peladang Melalui Pertanian Lestari di Tanah Gambut: Strategi Mitigasi dan Adaptasi Perubahan Iklim bertempat di Kampung Seri Bunian,di sini baru-baru ini bermatlamat memperkenalkan inovasi dan solusi praktikal bagi pemeliharaan tanah gambut.

Menurut Pensyarah Kanan Institut Sains Biologi,Fakulti Sains,Universiti Malaya,Dr. Rosazlin Abdullah program berkenaan turut memperkasakan komuniti petani dengan ilmu pengurusan tanah yang mampan,termasuk penggunaan biochar,sistem saliran terkawal,serta pendekatan paludikultur bagi meningkatkan daya tahan tanaman terhadap perubahan iklim.

"Program ini telah berjalan lancar dengan adanya kerjasama daripada semua pihak.

"Program seperti ini perlu dilaksanakan bagi memberi pendedahan dan berkongsi ilmu serta inovasi supaya komuniti dapat melaksanakan aktiviti pertanian secara lestari di tanah gambut," katanya.

Selain memperkenalkan kaedah penghasilan biochar daripada bahan buangan pertanian,peserta juga diberikan pendedahan mengenai teknologi mengesan asap pembakaran tanah gambut serta konsep paludikultur,yang mengekalkan paras air tinggi bagi mengurangkan degradasi tanah dan mengawal pelepasan gas rumah kaca.

Sementara itu,pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar yang juga ketua sukarelawan program tersebut,Masturina Mirza Mazuki berkata pengetahuan yang diperolehinya pada program berkenaan sangat berharga sekali gus meningkatkan keyakinannya dalam menawarkan penyelesaian terhadap cabaran komuniti dan alam sekitar.

"Saya gembira dapat mengaplikasikan pengetahuan saya kepada petani sebenar dalam komuniti.

"Secara tidak langsung,ini telah menambah keyakinan saya sebagai duta sains dalam masyarakat," ujarnya.

Program tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia,yang aktif melaksanakan inisiatif ‘Soil Doctor Programme’ di seluruh negara.

Dengan sokongan kerajaan dan usaha berterusan di peringkat antarabangsa,program seperti ini diharapkan dapat memperkasakan komuniti peladang dalam pengurusan tanah gambut secara lestari,sekali gus memelihara keseimbangan ekosistem dan mengurangkan kesan perubahan iklim di Malaysia.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.