Legasi, UPSI pulihara lebih 20 bangunan bersejarah
2025-02-20
IDOPRESS

Bangunan Suluh Budiman yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah ditempatkan Muzium Pendidikan Nasional/ UPSI
TANJUNG MALIM,20 FEBRUARI- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) komited dalam memulihara bangunan berusia lebih 100 tahun di universiti itu yang dikategorikan sebagai bangunan warisan.
Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata antara 26 bangunan itu termasuk Bangunan Suluh Budiman,Tadahan Utara,Tadahan Selatan,Rumah Za’ba,Rumah Pengetua,Rumah Tamu,dan Dewan Makan.
"Bangunan Suluh Budiman (BSB) yang dibina pada tahun 1922 dijaga dengan baik dan dijenamakan sebagai Muzium Pendidikan Nasional (MPN) yang terisi pelbagai artifak pendidikan sejak zaman sebelum merdeka seperti mesin taip,pakaian seragam sekolah,buku serta pelbagai artifak yang menarik perhatian pengunjung terutamanya pelajar sekolah," kata Md Amin.
Sejak dinaik taraf pada tahun 1997 daripada nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) kepada UPSI kini ia memiliki pelbagai keistimewaan tersendiri termasuk sejarah,lokasi,pencapaian dan segala kemudahan yang dimiliki sekali gus menarik perhatian masyarakat di dalam dan luar negara.
UPSI pulihara lebih 20 bangunan bersejarah demi legasi negara/ UPSI
UPSI juga terpahat sebagai dalam peta sejarah perjuangan pendidikan Nusantara sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC) yang melahirkan guru-guru Melayu yang menyemarakkan semangat nasionalisme menerusi persuratan atau penulisan kreatif.
"Berhampiran bangunan Fakulti Bahasa dan Komunikasi terdapat tiang yang mempunyai kesan tembakan peluru tentera komunis pada zaman darurat serta loceng agung yang digunakan oleh pelatih guru zaman SITC.
"Justeru,generasi mahasiswa UPSI dan masyarakat hari ini tidak boleh melupakan sejarah silam yang besar dan bermakna apabila mengkaji peranan Pejabat Karang Mengarang dan Pendeta Za'ba sebagai intelektual Melayu yang menjadi sebutan dan kebanggaan tanah air," katanya lagi.
Universiti yang mahu memartabatkan tulisan jawi itu juga menyediakan kemudahan lawatan secara maya menerusi UPSI 360 Dynamics VR Tour selain mengalu-alukan masyarakat menikmati keindahan universiti itu,beriadah dan jelajah bersama keluarga.
Sebagai institusi pendidikan yang berpegang pada prinsip mengekalkan akar budaya masyarakat Malaysia itu juga memiliki UPSI Superbowl dan UPSI Adventure Park manakala UPSI Glamping Park dijangka menjadi tarikan orang ramai dan beroperasi pada April depan.