2025-02-20
IDOPRESS
Penyakit kusta merupakan jangkitan yang boleh dirawat dengan lebih mudah sekiranya dikesan pada peringkat awal / Foto Hiasan / Bernama
KUALA LUMPUR,20 Februari – Penyakit kusta merupakan jangkitan yang boleh dirawat dengan lebih mudah sekiranya dikesan pada peringkat awal,kata Doktor Perubatan Am,Dr. Kohila Devan Murugan.
Menurutnya,rawatan kusta memerlukan tempoh antara enam bulan hingga dua tahun bergantung kepada tahap jangkitan,dengan penggunaan kombinasi beberapa jenis antibiotik.
Bagaimanapun,langkah pencegahan terus diperketatkan bagi mengurangkan kes baharu di Malaysia.
"Pengesanan awal dan rawatan segera adalah langkah utama. Individu dengan simptom perlu segera ke klinik untuk pemeriksaan. Pesakit yang menjalani rawatan Multi-Drug Therapy (MDT) tidak lagi berjangkit dalam tempoh beberapa hari hingga minggu selepas memulakan rawatan," katanya kepada RTM.
Tambahnya,ahli keluarga pesakit juga perlu menjalani pemeriksaan bagi mengesan tanda awal kusta,dan jika perlu,mereka akan diberikan antibiotik pencegahan atau profilaksis.
Beliau turut menekankan kepentingan kebersihan diri dan kesihatan umum,termasuk amalan mencuci tangan serta menjaga sistem imun melalui gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Walaupun Malaysia telah mencapai kadar eliminasi kusta yang rendah,kurang daripada satu kes bagi setiap 10,000 penduduk,langkah pencegahan ini penting bagi memastikan penyakit tersebut terus terkawal.