Tindakan susulan diselaraskan menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan

2025-02-21 IDOPRESS

Van yang membawa jenazah Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin

GEORGE TOWN,21 Februari- Exco Belia,Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen menegaskan bahawa tindakan susulan akan diselaraskan di peringkat ibu pejabat menerusi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan,Kementerian Kesihatan (KKM).

Perkara itu berhubung kematian kanak-kanak berusia 10 tahun,Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin selepas didakwa tercekik gula-gula kenyal (gummy) berbentuk mata semalam.

"Ia bagi memastikan segala prosedur keselamatan dipatuhi dan langkah pencegahan dapat diambil bagi mengelakkan kejadian berulang," kata Daniel Gooi Zi Sen.

Dalam pada itu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang menjalankan siasatan berkaitan keselamatan produk gula-gula kenyal (gummy) yang dipercayai menjadi punca kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun,semalam.

Sementara itu suasana hiba menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) apabila van jenazah yang membawa mayat Mohamad Fahmi Hafiz,10 tahun meninggalkan hospital sekitar pukul 1.15 tengah hari tadi.

Kedua ibu bapanya,Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri,35 tahun,dan Nuraini Mohamad Isa,37 tahun,bersama anak bongsu mereka,Nufa Fakhira,4 tahun,hadir bagi urusan bedah siasat anak sulung mereka.

Turut hadir,ahli keluarga serta neneknya,Hambiah Kassim,75 tahun,yang reda dengan pemergian cucu tersayang.

Namun,dia masih terkenang gelagat arwah yang tinggal bersamanya hampir dua minggu sepanjang cuti sekolah baru-baru ini.

"Saya masih teringat gelagat arwah,sebab kalau orang lain makan dengan sudu dia mesti akan pakai tangan. Sebab arwah masih ingat saya kata Tuhan dah beri tangan jadi kena pakai tangan.

"Saya pun tak berani nak tengok arwah,saya tengok sekali imbas sahaja hanya nampak bayang-bayang," katanya ketika ditemui pemberita.

Allahyarham Mohamad Fahmi Hafiz disahkan meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal itu akan dikebumikan selepas solat Jumaat.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.