Paparan Jalur Gemilang tidak lengkap, tindakan tegas perlu segera diambil

2025-04-21 IDOPRESS

Ahli Parlimen Lembah Pantai,Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR,20 April- Ahli Parlimen Lembah Pantai,Datuk Fahmi Fadzil,menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap atau tidak tepat.

Setakat ini,sekurang-kurangnya lima laporan polis telah dibuat berhubung insiden terbaharu yang melibatkan paparan Jalur Gemilang di sebuah pameran perdagangan produk bayi di pusat membeli-belah di ibu negara.

Gabungan parti Kerajaan Perpaduan Parlimen Lembah Pantai telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.

Menurut Datuk Fahmi,mereka turut menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 (Akta 414) dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193).

"Semalam kita telah digegarkan dengan satu insiden dipercayai berlaku di Mid Valley dalam kawasan Lembah Pantai,melibatkan satu paparan lambang Jalur Gemilang yang tidak lengkap. Ia tidak ada bulan sabit.

"Ini kita serahkan kepada pihak polis untuk siasat dan sekiranya pihak polis mendapati ada apa-apa perkara yang telah melanggar undang-undang,maka kita pohon agar tindakan tegas diambil terhadap pihak berkenaan",katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Waris Kerinchi di Surau Al Mukmin,Bukit Kerinchi Kuala Lumpur.

Baru-baru ini,tular di media sosial mengenai paparan bendera Jalur Gemilang di bahagian belakang pentas reruai sebuah syarikat dalam pameran jualan,yang didapati tidak memaparkan simbol bulan sabit,sehingga menimbulkan kritikan orang ramai.

Reka bentuk pada skrin belakang pentas tersebut hanya memaparkan 14 jalur dan bintang pecah 14 tanpa bulan sabit,sekali gus menimbulkan kekeliruan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.