2025-04-23
IDOPRESS
Foto Hiasan / Bernama
SEPANG,22 April – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merekodkan kadar operasi peruncit yang tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),dengan hampir 90 peratus daripada premis perniagaan telah beroperasi sepenuhnya.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB,Hani Ezra Hussin berkata peningkatan itu turut disumbang oleh sambutan memberangsangkan terhadap produk buatan tempatan yang mencatat pertumbuhan jualan sebanyak 40 peratus.
“Antara tarikan utama di lapangan terbang ialah barangan buatan Malaysia. Kami gembira apabila ruang lebih luas diberikan kepada produk tempatan seperti di kedai ‘Little Malaysia’ dan ‘The Sense of Malaysia’,” katanya ketika ditemui pada majlis Ceria Aidilfitri MAHB di sini,hari ini.
Menurut beliau,sambutan menggalakkan dalam kalangan pelancong asing terhadap produk tempatan mendorong pihak MAHB untuk memperluaskan penawaran produk tersebut ke lapangan terbang lain di seluruh negara.
Langkah itu merupakan antara inisiatif untuk menyokong usahawan tempatan serta mempromosi identiti Malaysia kepada pelancong antarabangsa.