NADI bukan sekadar pusat maklumat, tapi pemangkin ekonomi - Fahmi Fadzil

2025-04-27 HaiPress

Foto BERNAMA

SANDAKAN,27 April 2025 – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini muncul sebagai platform utama memperkasa keusahawanan digital dan memartabatkan celik digital masyarakat luar bandar,kata Menteri Komunikasi,Datuk Fahmi Fadzil.

"Hari ini,kita dapat lihat NADI bukan sekadar pusat maklumat,tetapi telah menjadi pemangkin pembangunan ekonomi digital rakyat luar bandar," katanyamerasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Sim Sim,di sini yang diadakan bagi mengukuhkan jaringan kerjasama agensi kerajaan dan merapatkan jurang digital serta sosial komuniti setempat.

Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini menampilkan pelbagai aktiviti,termasuk Kempen Internet Selamat,pameran Perkhidmatan Pintar NADI,promosi produk usahawan NADI,Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),bengkel microbit,pertandingan e-Sukan,saringan kesihatan percuma serta pendaftaran ahli baharu NADI.

Salah satu tumpuan utama ialah Kempen Internet Selamat,yang memberi fokus kepada pelajar bawah 13 tahun.

Mereka diberi pendedahan tentang peraturan asas penggunaan Internet secara beretika,risiko buli siber,pemangsaan dalam talian,serta kandungan tidak sesuai.

"Generasi muda perlu bukan sahaja celik teknologi,tetapi juga beretika dan berdaya tahan dalam dunia siber," ujar Fahmi Fadzil,sambil menekankan pentingnya kesedaran tentang had umur minimum penggunaan media sosial.

Sejak beroperasi pada 22 Oktober 2019,NADI Sim Sim telah menjadi antara pusat aktif di daerah Sandakan,melaksanakan pelbagai program di bawah lima teras utama Perkhidmatan Pintar NADI: Keusahawanan,Pembelajaran Sepanjang Hayat,Kesejahteraan Kendiri,Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.

Di Sandakan,terdapat 8 buah NADI yang memanfaatkan lebih 12,000 komuniti di kawasan sekitar,termasuk di Pekan Batu Sapi,PPR Taman Mesra,Taman Mawar,PPR Taman Murni,Kg Sungai Kayu,Sebait Padas,dan PPR Taman Gum Gum.

"Ramai usahawan bermula dari kecil-kecilan kini berjaya memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui Facebook,TikTok,Instagram dan Shopee,hasil sokongan latihan digital berstruktur di NADI," katanya.

Program keusahawanan NADIPreneur pula membuka lebih banyak peluang kepada komuniti,membimbing mereka dalam pembangunan produk,pemasaran digital,pelan perniagaan,serta literasi kewangan.

"Kisah kejayaan usahawan di NADI membuktikan bahawa teknologi dan ilmu mampu mengubah taraf hidup komuniti," tambah beliau.

Mengulas lanjut,Fahmi berkata,Sabah kini mempunyai 132 NADI secara keseluruhan,termasuk 118 NADI sedia ada,12 NADI baharu beroperasi,dan dua lagi dalam pelaksanaan di Kampung Gelam dan Pulau Banggi.

"1 DUN 1 NADI" menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperluas capaian maklumat dan teknologi digital di seluruh pelosok negara,khususnya di luar bandar dan kawasan pedalaman.

"Dengan usaha berterusan ini,tiada komuniti akan ketinggalan dalam menikmati manfaat digitalisasi," tegasnya.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen P.186 Sandakan,Vivian Wong Shir Yee; Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah,Tanjung Papat,Datuk Frankie Poon Ming Fung; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi,Datuk Mohamad Fauzi bin Md. Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC,Jeneral Tan Sri Dato' Sri Zulkifeli Mohd Zin (B); sertaKetua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC,Bukhari Yahya.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.