2025-06-13
IDOPRESS
FOTO FB YB Datuk James Ratib
KOTA KINABALU,12 Jun- Komitmen berterusan antara kerajaan negeri dan persekutuan terus dizahirkan demi kesejahteraan rakyat Sabah apabila 100 mesin hemodialisis disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mesin-mesin berkenaan merupakan sumbangan Kerajaan Negeri Sabah bagi memperkasa perkhidmatan rawatan buah pinggang di negeri berkenaan.
Majlis penyerahan berlangsung di Hospital Queen Elizabeth II,disempurnakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah,Datuk James Ratib kepada Menteri Kesihatan,Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut Datuk James,sumbangan tersebut memberi manfaat besar kepada pesakit buah pinggang di Sabah,khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Ini amat memberi manfaat kepada semua pesakit buah pinggang negeri Sabah. Selain itu,kerajaan negeri juga memberikan pengecualian yuran bagi penerima perkhidmatan dialisis,termasuk mereka yang mendapatkan rawatan di rumah atau secara persendirian melalui KPPT. Mereka turut menerima bantuan sebanyak RM100 setiap seorang,” katanya.
Sumbangan itu adalah sebahagian daripada inisiatif bawah Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ) ‘Sabah Sejahtera’ yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.
Sementara itu,Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan penghargaan atas sumbangan itu yang akan dimanfaatkan untuk 23 hospital di seluruh negeri Sabah.
“Saya ucapkan terima kasih. Ini sangat membantu dalam menangani keperluan mendesak bagi rawatan hemodialisis yang semakin meningkat,” ujarnya.
KKM akan mengagihkan mesin-mesin tersebut ke hospital-hospital terpilih berdasarkan keperluan semasa.
Langkah itu sejajar dengan komitmen Kementerian memperluaskan akses rawatan dialisis yang cekap dan menyeluruh kepada rakyat,khususnya di Sabah.
Melalui sinergi antara dua peringkat kerajaan,lebih ramai pesakit buah pinggang di negeri itu bakal menerima rawatan yang lebih selesa,efisien dan percuma.