Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding mata wang utama

2025-08-21 HaiPress

Foto fail

KUALA LUMPUR,20 Ogos -Ringgit meningkat berbanding kebanyakan mata wang utama tetapi susut sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Rabu di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati menjelang pengumuman minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FMOC) AS lewat malam ini.

Pada 6 petang,mata wang tempatan susut kepada 4.2250/2290 berbanding dolar AS daripada 4.2215/2255 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata selain minit tersebut,ulasan pegawai kanan bank pusat AS turut menjadi tumpuan selepas butiran mengenai FOMC dikeluarkan.

“Pasaran bimbang sama ada Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah 25 mata asas dalam mesyuarat FOMC akan datang,” katanya kepada Bernama.

Afzanizam berkata indeks harga pengguna dan dinamik indeks harga pengeluar AS minggu lepas mencadangkan bahawa Fed mungkin terus memberi tumpuan kepada inflasi,tetapi menyatakan bahawa pasaran buruh yang lemah memberi jaminan mengenai rangsangan monetari tambahan.

Selain itu,sentimen pasaran akan kekal terkawal menjelang isyarat dasar daripada Simposium Dasar Ekonomi Jackson Hole Fed lewat minggu ini.

Pada penutup dagangan,ringgit ditutup kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama.

Ia meningkat berbanding euro kepada 4.9196/9242 daripada 4.9307/9354 semalam dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.7033/7087 daripada 5.7066/7120,tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 2.8648/8677 daripada 2.8572/8601.

Ringgit turut diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2864/2898 daripada 3.2901/2935 ketika ditutup pada Selasa,mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9756/9935 daripada 12.9848/13.0027 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 259.6/260.0 daripada 259.8/260.2. Bagaimanapun,ia berkurang berbanding peso Filipina kepada 7.41/7.42 daripada 7.39/7.40 semalam. - BERNAMA

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.