PDRM perketat kawalan sempadan, banteras penyeludupan senjata api

2025-09-11 HaiPress

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman,Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi

KUALA LUMPUR,11 September – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat kawalan di sempadan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan senjata api.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman,Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata,tindakan itu susulan maklumat risikan mengenai penglibatan beberapa rakyat Malaysia dalam sindiket berkenaan.

Menurutnya,hasil mesyuarat serta perkongsian maklumat bersama Polis Thailand Region 9 mendedahkan terdapat rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dengan penyeludupan senjata api,malah ada yang dipercayai berjaya memasuki negara ini.

“Kita menerima maklumat risikan daripada pihak polis di Sadao berkaitan rampasan senjata api jenis M4 yang cuba diseludup kira-kira dua minggu lalu. Kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand masih berjalan,kita bertukar maklumat dan PDRM juga mempertingkat kawalan di sempadan,sama ada di laluan sempadan utama,kompleks ICQS mahupun menerusi sekatan jalan raya,” katanya.

"Usaha mengesan individu yang lain terbabit sedang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Cawangan Khas. Manakala,KDNKA akan terus berkomunikasi bersama sumber bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terjamin."

Mengulas lanjut,Datuk Mohamad Suzrin berkata mesyuarat bersama Polis Thailand itu juga bertujuan memperkukuh kerjasama dalam aspek perkongsian maklumat risikan serta operasi kawalan sempadan,khususnya membabitkan Briged Utara dan Briged Tenggara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Ujian Rentas Halangan KDNKA di Markas Briged Tengah PGA,Cheras.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.