Super El Nino bermula November, risiko jerebu di Malaysia meningkat tahun depan

2026-07-07 HaiPress

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) METMalaysia,Ambun Dindang (lima dari kanan) menghadiri sesi libat urus bersama media di Puchong,Selangor – Foto RTM

PUCHONG,7 Julai – Fenomena Super El Nino diramal bermula November ini,sekali gus meningkatkan risiko cuaca lebih panas,pengurangan hujan dan kejadian jerebu di Malaysia,terutama selepas berakhirnya musim Monsun Timur Laut pada tahun hadapan.


Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia),Ambun Dindang,berkata,jangkaan itu berdasarkan data yang dipantau oleh National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) menerusi Climate Prediction Center (CPC).

RINGKASAN BERITA AI

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus bersama media: kesiapsiagaan kerajaan menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) tahun 2026 di sini.

Mengulas laporan yang meletakkan Malaysia bersama Singapura,Indonesia dan Brunei berisiko berdepan jerebu rentas sempadan dalam beberapa bulan akan datang,Ambun berkata,unjuran itu dibuat susulan perkembangan fenomena El Niño serta keadaan cuaca kering ketika musim Monsun Barat Daya.

Beliau menjelaskan sepanjang Monsun Barat Daya,kebanyakan negara di Asia Tenggara termasuk Malaysia,Singapura dan Indonesia lazimnya mengalami cuaca lebih panas dan kering,sekali gus meningkatkan risiko jerebu.

“Ketika musim ini,jerebu boleh berpunca daripada sumber tempatan atau dibawa merentasi sempadan dari negara jiran yang turut mengalami cuaca kering,” katanya.

Menurut beliau,pemantauan menerusi ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) turut menunjukkan kewujudan beberapa titik panas di negara jiran yang berisiko menjejaskan kualiti udara serantau.

Bagaimanapun,Ambun menegaskan masih terlalu awal untuk mengesahkan Malaysia akan berdepan episod jerebu yang serius kerana keadaan bergantung kepada perkembangan cuaca dan arah angin dari semasa ke semasa.

Selain itu,berdasarkan unjuran semasa,kemungkinan jerebu yang lebih ketara hanya berpotensi berlaku selepas berakhirnya Monsun Timur Laut,apabila negara kembali memasuki tempoh cuaca yang lebih kering pada tahun hadapan.

Justeru,METMalaysia akan terus memantau perkembangan fenomena El Nino dan data iklim global secara berterusan bagi memastikan sebarang perubahan cuaca yang boleh memberi kesan kepada negara dapat dimaklumkan lebih awal kepada orang ramai dan agensi berkaitan.

Penafian: Artikel ini diterbitkan semula dari media lain. Tujuan mencetak semula adalah untuk menyampaikan lebih banyak maklumat. Ini tidak bermakna laman web ini bersetuju dengan pandangannya dan bertanggungjawab ke atas keasliannya, dan tidak menanggung tanggungjawab undang-undang. Semua sumber di laman web ini dikumpulkan di Internet. Tujuan perkongsian adalah untuk pembelajaran dan rujukan sahaja. Sekiranya terdapat pelanggaran hak cipta atau harta intelek, sila tinggalkan mesej.